Saturday, November 21, 2009

PENYERAHAN MEMORANDUM KEPADA SUHAKAM SUPAYA MENUBUHKAN SURUHANJAYA KHAS UNTUK MENYIASAT KES-KES TEMBAK MATI POLIS BARU-BARU INI



Tarikh : 18 November 09

Y Bhg Dato' Siva Subramaniam A/L Nagaratnam
Pesuruhjaya
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia
Tingkat 29, Menara Tun Razak
Jalan Raja Laut
50350 Kuala Lumpur.

Y Bhg Dato,

MEMORANDUM KEPADA SURUHANJAYA HAK ASASI MANUSIA MALAYSIA, SUPAYA MENYIASAT SEGALA KEJADIAN TEMBAK MATI SUSPEK JENAYAH OLEH PIHAK POLIS DEMI KEPENTINGAN MASYARAKAT UMUM.

Dengan segala hormat Ta’zim, ingin kami menarik perhatian Dato kepada perkara diatas.

Saya KULASEGARAN A/L MURUGESON (Ahli Parlimen Ipoh Barat) bersama SUGUMARAN A/L PERIASAMY sebagai seorang warganagera Malaysia yang bertanggungjawab juga mewakili masyarakat umum dinegara ini, ingin menyeru supaya SUHAKAM menubuhkan “SURUHANJAYA KHAS” bagi menyiasat tindakan ganas Polis terhadap 6 orang suspek jenayah kaum India dan seorang individu yang berkaum Melayu yang ditembak mati secara membuta tuli baru-baru ini.

Amat menggelisahkan apabila mendengar seorang manusia ditembak mati kerana disyaki suspek jenayah. Sebagai seorang manusia kita harus berfikiran jauh serta patut bersoal mengenai kekerapan hukuman tembak mati ditempat kejadian oleh pihak Polis.

Pada masa yang sama, kami juga meminta pihak SUHAKAM mengesyorkan beberapa langkah proaktif yang bijaksana kepada Kerajaan Malaysia serta bagi pihak Polis untuk mengelakkan insiden sebegini berulang kali berlaku.

Rakyat dinegara ini, secara amnya sudah hilang kepercayaan terhadap kewibawaan Polis serta tindakan-tindakan Polis terhadap suspek jenayah yang seolah mencerminkan ciri-ciri agenda Polis yang berkelakuan “PEMBUNUH BERLESEN”. Untuk makluman pihak SUHAKAM Polis tidak ada imej yang bersih dikalangan masyarakat dan rakyat dinegara ini hanya mempunyai pandangan negatif terhadap mereka.

Sebagai langkah bagi menyumbang kearah pengukuhan keselamatan rakyat negara ini yang sedia ada, kami ingin mengemukakan beberapa cadangan berikut untuk pertimbangan dan saranan SURUHANJAYA kepada pihak Kerajaan Malaysia, khususnya kepada Polis Diraja Malaysia.

1. MEMPERBAIKI KELAKUAN POLIS YANG BERPENDIRIAN “HAKIM SENDIRI”

Bagi pengetahuan kami, Polis diberikan kuasa untuk menjaga keamanan serta kepentingan manusia sejagat demi keselamatan semua rakyat dinegara ini. Tetapi kelakuan Polis yang berniat untuk menembak mati suspek jenayah adalah seolah menghukumkan orang yang masih hidup secara buta tuli dan ikut suka hati. Ianya seolah berkelakuan menjadi “HAKIM SENDIRI” ditempat operasi.

Faktor-faktor keselamatan diabaikan dan Polis pula bertindak sebagai penjenayah. Adakah undang-undang memberikan kuasa mutlak kepada Polis untuk bertindak bagi menembak mati suspek jenayah? Adakah arahan tembak mati dikeluarkan oleh pihak Polis sebelum membuat serbuan terhadap seorang suspek jenayah?

Berhubung kejadian di Pulau Pinang pada 13 November 09, kami difahamkan melalui keratan Akhbar Tamil, dimana sekumpulan anggota-anggota Polis dari Bukit Aman menjalankan operasi dan mengekori suspek dan bertindak selepas mendapat maklumat yang kukuh. Persoalannya, jikalau benar pihak Polis dapat tahu bahawa suspek jenayah adalah seorang yang merbahaya serta dikehendaki Polis, kenapakah Polis tidak mencuba sedaya upaya untuk menangkap suspek itu untuk mendapatkan maklumat kuncu-kuncunya? Adakah niat Polis pada operasi itu hanya berpendirian untuk menembak mati suspek tersebut? Bukankah Polis dilatih dan diberikan segala pengajaran untuk menangani satu situasi yang kritikal semasa berhadapan dengan suspek jenayah?

Juga difahamkan bahawa Polis bertindak selepas suspek jenayah mengeluarkan tembakkan kearah kereta Polis. Dalam konteks ini, kami ingin tahu bahawa adakah mana-mana anggota Polis menjadi mangsa tembakan penjenayah tersebut?

Yang lebih menghairankan adalah, suspek jenayah yang ditembak mati di Pulau Pinang tidak ditemani oleh mana-mana rakan serta berseorangan diri dalam keretanya. Manakala, seorang lelaki yang bernama Mohamad Tawfiq yang berumur 22 tahun pula ditembak mati di Arau tanpa apa-apa rundingan awal oleh pihak Polis. Dalam isu ini, juga difahamkan bahawa Mohamad Tawfiq telah sendiri pergi ke balai dan memaklumkan bahawa beliau telah dianiayai oleh rakannya. Menurut ahli keluarga Tawfiq, beliau mengamuk disebabkan oleh rakan-rakannya yang telah meninggalkan beliau di Alor Setar dan terpaksa berjalan kaki sejauh 60 kilometer ke rumahnya.

Bagaimanapun, disebabkan oleh kecuaian dan ketiadaan ciri-ciri professional dalam menangani situasi sebegini, pihak Polis hanya bertindak menembak pada bahagian dada beliau. Persoalannya, kenapakah anggota-anggota Polis yang terlibat dalam kes ini tidak menahan beliau semasa Tawfiq membuat aduan dibalai serta kenapakah Polis tidak menembak pada bahagian kaki simati semasa beliau mengamuk ditempat insiden berlaku? Dimanakah letaknya kecekapan, kepakaran serta keberanian pihak Polis semasa menghadapi hanya seorang suspek jenayah ataupun individu yang mengamuk?

Untuk makluman pihak SUHAKAM, bukan sahaja dalam insiden ini malah dalam beberapa insiden tembak mati Polis, tiada mana-mana anggota-anggota polis pernah menjadi mangsa tetapi suspek jenayah pula akan ditembak mati dengan alasan yang tidak logik.

2. PENGGUNAAN SENJATA API DITEMPAT AWAM HARUS DIELAKKAN.

Faktor keselamatan orang awam harus diberikan pengutamaan kerana Polis bertindak ikut perasaan dengan senjata yang diberikan kepada mereka ditempat awam tanpa menghiraukan kepentingan orang awam. Oleh yang demikian pihak SUHAKAM harus menasihati pihak Polis supaya menghentikan serangan tembak ditempat awam demi kepentingan rakyat yang terdedah kepada risiko-risiko yang tidak diigini boleh berlaku ketika serangan diantara suspek jenayah dan anggota-anggota Polis.

3. ARAHAN TEMBAK MATI HARUS DIHENTIKAN DENGAN SERTA MERTA

SUHAKAM harus melukis satu garis panduan kepada pasukan Polis bagi membolehkan mereka menggunakan taktik-taktik yang lain untuk memperbaiki satu situasi semasa berhadapan dengan suspek jenayah. Kami amat yakin dimana jikalau latihan yang ditawarkan di Pusat Latihan Polis adalah mengikut keadaan semasa, maka kematangan anggota-anggota Polis yang terlibat dalam satu operasi jenayah akan dapat mengelakkan kejadian tembak menembak.
Pendedahan yang mencukupi tentang Hak Asasi yang berkaitan dengan bidang tugas kepolisan juga perlu dipastikan. Selain daripada itu, SUHAKAM juga harus menekan pihak Polis supaya menanamkan ciri-ciri perikemanusian pada semua anggota-anggota Polis semasa melibatkan diri dalam satu operasi jenayah.

Banyak aduan dibuat terhadap tingkah laku Polis, tetapi Kerajaan langsung tidak peduli dengan aduan tersebut dan SUHAKAM harus mencari satu saluran yang kukuh untuk menasihati Kementerian yang bertanggungjawab untuk menyeragamkan kelakuan anggota-anggota Polis.

Selain daripada itu, penggunaan senjata api oleh anggota-anggota Polis harus dinilai balik dan SUHAKAM harus meneliti arahan tembak mati dari masa ke semasa. Selain daripada itu, SUHAKAM juga harus menyarankan supaya Kerajaan Malaysia untuk membubarkan arahan tembak mati dengan sewenang-wenangnya ataupun patut mengetatkan arahan tembak mati bagi mengelakkan perspektif negatif masyarakat umum terhadap Polis.

Polis sepatutnya mengambil iktibar untuk membawa perubahan serta keamanan dinegara ini dan bukannya mengugat keamanan rakyat umum.

4. STATISTIK KES-KES TEMBAK MATI POLIS MENGIKUT KOMPOSISI KAUM HARUS DIKEMUKAKAN KEPADA RAKYAT UMUM.

Demi menjaga ketelusan undang-undang dan juga hak sebagai seorang rakyat dinegara ini, semua kes-kes tembak mati Polis harus diakhiri dengan siasatan lanjutan serta laporan mengenai insiden harus diadakan oleh SUHAKAM dan laporan secara keseluruhan harus dikemukakan kepada masyarakat umum untuk diteliti. Pada masa yang sama, SUHAKAM juga harus membuka ruang kepada rakyat umum untuk membangkitkan persoalan terus kepada SUHAKAM berhubung laporan tersebut demi menegakkan keadilan. Pada masa yang satu sessi perbincangan juga patut diaturkan oleh pihak SUHAKAM diantara pihak keluarga mangsa dan Polis.

Secara amnya, rakyat negara ini mempunyai kepercayaan dan menghormati tinggi langkah-langkah pihak SUHAKAM dalam menangani isu-isu Hak Asasi Manusia. Kami berharap pihak SUHAKAM akan menubuhkan satu “SURUHANJAYA KHAS” bagi menyiasat kelakuan ganas Polis baru-baru ini.

Oleh yang demikian, kami ingin menyerah memorandum ini dan menyeru bahawa SUHAKAM harus mengadakan satu siasatan terhadap semua anggota-anggota Polis tanpa menghiraukan status dan pangkat mereka yang terlibat dalam insiden tembak mati di kawasan Klang,Pulau Pinang dan juga di Arau.

Segala usaha dan kerjasama pihak SUHAKAM berhubung perkara ini amatlah dihargai serta disanjung tinggi dan didahului dengan ribuan terima kasih.

Sekian dimaklumkan.


KULASEGARAN A/L MURUGESON
(Ahli Parlimen, Ipoh Barat)


P.Sugumaran (0175677276)
Setiausaha, Kumpulan Khidmat DAP Jelapang
Setiausaha, Cawangan DAP Ipoh Barat
(Bekas Setiausaha Politik, Ahli Parlimen Ipoh barat)


No comments: