Friday, March 20, 2009

Kemuka surat bantah MBI - Sinar Harian Perak Edition

IPOH – Pasukan Khidmat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Jelapang menghantar surat bantahan kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berkenaan isu pembinaan menara telekomunikasi.
Pengerusi Pasukan Khidmat DAP Jelapang, Frankie Wong Yoon berkata, bantahan ini dibuat kepada MBI kerana kami menerima aduan daripada pemilik-pemilik kilang dan juga penduduk setempat berhubung pembinaan menara telekomunikasi di atas lot tanah bernombor 2, Persiaran Jelapang Maju 7, Kawasan Perindustrian Ringan Jelapang Maju.
Menurutnya, penduduk di kawasan sekitar risau akan akibat yang bakal diterima yang dipercayai memberi berisiko tinggi terhadap kesihatan termasuk serangan pelbagai penyakit kronik lain kesan daripada menara pemancar berkenaan. “Dianggarkan lebih kurang 1,000 buah rumah di kawasan berkenaan mempunyai penghuni dan kemungkinan besar golongan inilah yang mempunyai risiko tinggi diserang pelbagai penyakit.
“Manakala lebih 200 buah kilang yang beroperasi dan boleh menyebabkan nilai aset dan produk dikeluarkan terjejas serta menurun dari segi nilai pasaran,” katanya semasa sidang media di pejabat MBI, semalam.
Sementara itu, Setiausaha Ahli Parlimen Ipoh Barat, P Sugumaran berkata, MBI sepatutnya lebih bertanggungjawab dalam soal ini kerana ia melibatkan penduduk setempat. Menurutnya, memang tidak dinafikan dari segi prosedur Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pembinaan menara berkenaan mengikut garis panduan yang ditetapkan.
“Apa yang mendukacitakan ialah risiko kepada penduduk setempat serta operasi kilang-kilang berdekatan terjejas. “Lagipun, pembinaan menara berkenaan dari segi penstrukturannya tidak selamat dan tidak kukuh, tapak menara hanya menggunakan konkrit simen di permukaan tanah sahaja bukannya dikorek serta disimen pada dasarnya,” katanya semasa ditemui di sini. Sugumaran berkata, faktor keselamatan menara berkenaan dipertikaikan kerana kemungkinan besar boleh menimpa kilang berdekatan dan penduduk setempat.
“Oleh sebab itulah kita membawa isu ini untuk berjumpa dengan Datuk Bandar supaya dapat diselesaikan dengan segera. “Kita bukannya mahu mempertikaikan tugas MBI ataupun mempunyai agenda lain tetapi keselamatan masyarakat setempat perlu diambil kira dan diutamakan terlebih dahulu,” katanya. Sehubungan itu, Pasukan Khidmat DAP Jelapang telah berjumpa Setiausaha Bandaraya Ipoh, Datuk Abd. Rahim Md. Arif wakil kepada Datuk Bandar yang berada di luar Perak, dan beliau memberi jaminan perkara berkenaan akan diselesaikan secepat mungkin.
Datuk Abd. Rahim berkata, hasil aduan dan siasatan telah dijalankan serta laporan mengenai perkara ini dalam proses lengkap. Sugumaran berkata, paling penting isu ini akan dapat diselesaikan dengan kadar segera serta boleh memberi manfaat kepada semua pihak khususnya penduduk dan pengusaha kilang kawasan berkenaan.