Wednesday, November 25, 2009

TANGKISAN PENDUDUK SETINGGAN DIABAIKAN ; KERAJAAN BERKELAKUAN ZALIM TERHADAP PENGUNDI DAN BERPENDIRIAN UNTUK BINA MYDIN DIKAWASAN BUNTONG.

Pembangunan MYDIN dikawasan Buntong merupakan satu pelan yang berniat untuk mengalihkan pengundi-pengundi dikawasan Buntong ke kawasan lain dan sememangnya dapat memperlihatkan tindakan Kerajaan BN Negeri Perak tidak berprihatin terhadap tangkisan rakyat tempatan dikawasan tersebut.

Saya tidak menafikan bahawa pembinaan hypermarket MYDIN dikawasan Buntong dapat menyumbang pada kemajuan sosioekonomi penduduk setempat tetapi persoalannya, kenapakah Kerajaan Negeri tidak memperuntukkan kawasan lain untuk pembinaan MYDIN dan bagaimanakah dengan penduduk-penduduk setinggan yang mendiami kawasan itu selama lebih daripada 20 tahun?

Pada pandangan saya, Kerajaan Negeri harus memberikan tekanan pada dua ciri yang penting iaitu keseimbangan diantara pembangunan dan kepentingan penduduk-penduduk satu kawasan. Malah dalam situasi ini pula, Kerajaan Negeri hanya berpendirian serta lebih memfokuskan pada pembinaan hypermarket dan bukannya kepentingan rakyat.

Kawasan Buntong pada masa ini, lebih dikenal sebagai suatu hub produk-produk pengeluaran Kacang Putih dan Kerajaan Negeri langsung tiada apa-apa rancangan jangka panjang untuk mempromosikan industri Kacang Putih ini. Jikalau pihak Kerajaan meneliti dengan serius pada industri ini, maka sektor pengeluaran Kacang Putih dapat memberikan satu impak positif yang besar dalam ekonomi pembangunan Negeri Perak. Sehingga hari ini tiada tanda-tanda daripada Kerajaan Negeri dalam pembangunan industri ini. Kenapa?

Perancangan untuk pembangunan MYDIN dikawasan Buntong adalah satu pelan yang tidak komprehensif dan tidak dinamik langsung serta tidak akan memformulasikan strategi yang berkesan untuk pembangunan dan perkembangan ekonomi dikawasan ini. Adakah pembangunan MYDIN dikawasan Buntong akan menjamin, di mana ia dapat mengurangkan kadar kemiskinan, merapatkan jurang pendapatan penduduk seterusnya meningkatkan kualiti hidup rakyat dikawasan ini?

MYDIN merupakan satu hypermarket yang dikenali ramai seperti TESCO & GIANT tetapi kedua-dua syarikat gergasi ini hanya membinakan pasaraya mereka dikawasan yang strategi tanpa mengganggu penduduk-penduduk setinggan.

Pada pengetahuan saya, pada peringkat awal MYDIN berniat untuk membina pasaraya mereka dikawasan Gugusan Manjoi dan disebabkan oleh bantahan daripada penduduk-penduduk setempat maka mereka tidak dapat laksanakan pembinaan itu. Pada masa ini pula MYDIN diberikan tanah dikawasan Buntong dan Kerajaan Negeri pula langsung tidak berunding dengan penduduk setempat serta tidak mengadakan apa-apa runding bicara untuk mengenal pasti kehendak rakyat dikawasan ini.

Dalam satu pembangunan, Kerajaan Negeri harus memanfaatkan dengan dasar-dasar pertimbangaan dalam merumuskan kebijakan pembangunan hypermarket yang sejalan dengan kehendak serta kemahuan rakyat setempat.

Oleh yang demikian, saya minta Kerajaan Negeri Perak memberikan kepentingan dalam kewujudan perekonomian kawasan setempat yang dibangunkan mencerminkan peningkatan peranan rakyat serta pelayanan rakyat dengan tujuan utamanya adalah untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan bukannya berniat untuk mempecah belahkan perpaduan masyarakat.