Saturday, May 29, 2010

Minta maaf dengan rela hati sebelum terlambat


Kenyataan Akhbar Sugumaran Periasamy (Pengarah Biro Pendidikan Politik Pemuda Sosial DAP Negeri Perak) berhubung “JANGAN MENGENEPIKAN SUMBANGAN GOLONGAN BUKAN INDIA DALAM PENTADBIRAN KUIL HINDU SERTA BERANIKAH PRESIDEN HINDU SANGAM MALAYSIA MENGELUARKAN KENYATAAN UNTUK SEMUA KUIL KUIL DIBAWAH HINDU SANGAM SUPAYA JANGAN PILIH RAKAN-RAKAN KRISTIAN, BUDDHIST DAN PUNJABI DALAM JAWATANKUASA PENTADBIRAN KUIL?”

Kenyataan perkauman yang mencetuskan kontroversi oleh Presiden Hindu Sangam Malaysia berhubung salah tafsiran beliau dalam menyelesaikan isu pentadbiran kuil menjadi lebih hangat daripada situasi sebelum ini. Di Malaysia, kita tidak boleh mengenepikan secara sewenang wenangnya segala sumbangan ataupun bantuan-bantuan mana-mana rakyat Malaysia ke mana-mana rumah ibadat atas kehendak mereka kerana ianya sudah pasti akan mengeratkan lagi hubungan etnik diantara kaum. Lebih-lebih lagi, ianya juga akan membuka ruang kepada semua rakyat Malaysia untuk memahami kefahaman kaum lain.

Kenyataan Presiden HSM Mohan Shan terhadap seorang pemegang amanah yg beragama Kristian pada satu mesyuarat gempar bertarikh 23/05/2010 dihalaman Kuil Dewa Sri Maha Mariamman Metro Kajang tidak dapat diterima oleh penduduk kawasan disini dan hari ini mereka mengambil inisiatif untuk mengemukakan bantahan terhadap sikap angkuh beliau. Selain daripada itu, sewaktu sidang akhbar, Mohan Shan juga menyatakan bahawa yang bukan beragama India iaitu Kristian tidak sepatutnya mencampurtangan dalam urusan kuil. Bagi pandangan saya, beliau mengeluarkan kenyataan tersebut dengan berniat untuk menjatuh imej serta untuk menakutkan pemegang amanah tersebut serta penduduk-penduduk kaum India dikawasan Kamunting,Taiping. Lebih-lebih lagi, sebelum sidang mesyuarat itu bermula, Mohan Shan juga bertindak secara melulu dengan memanggil pemegang (Kristian) amanah kuil itu dan meminta beliau berundurkan diri daripada mencampurtangan dalam hal-hal urusan kuil kerana jikalau dibenar, tidak lama lagi Kuil ini akan mengubah wajah menjadi Gereja. Saya juga difahamkan bahawa, sewaktu kenyataan itu dikeluarkan pada rakan Kristian itu, beliau menunjukkan wajah muka yang amat serius serta cara percakapan yang penuh sindiran itu benar-benar melukai hati rakan kristian itu.

Untuk makluman, rakan-rakan media Presiden HSM tidak pernah mendapatkan apa-apa kebenaran daripada tetuan tanah ataupun pemegang amanah tanah mahupun daripada pemegang amanah kuil untuk mengadakan mesyuarat itu bagi meleraikan pergelutan diantara persatuan penganaut dan pemilik tanah (jawatankuasa pengurusan kuil). Pergelutan ini wujud 3 tahun yang lepas dan ianya seolah “perang dingin” dan tidak pernah dipaparkan dalam mana-mana media oleh kedua-dua pihak. Keadaannya tambah teruk apabila, Presiden HSM yang dipelawa oleh Persatuan Penganut mencampurtangan dalam hal ini. Beliau juga bertindak mengikut sesuka hati tanpa mengira baik buruk masa depan kuil itu dan bertindak luar jangkaan kehendak penduduk sekitar kuil ini sehingga membawa kesan yang sangat negatif pada pandangan rakyat umum. Segala tindakan dan kenyataan Presiden HSM Mohan Shan telah menghancurkan kemurniaan Kuil ini serta nama baik Hindu Sangam Malaysia sendiri.

Disini, saya ingin menyatakan bahawa ada beberapa Kuil Hindu dinegara ini mempunyai keahlian rakan-rakan Kristian & Punjabi dimana ada dikalangan mereka juga memegang jawatan di jawatankuasa pengurusan Kuil. Jikalau pendirian Presiden HSM amat kukuh pada kenyataan yg dikeluarkan,maka saya ingin mencabar beliau untuk mengeluarkan satu notis kepada semua kuil-kuil dinegara ini supaya membuat satu pembersihan dijawatankuasa terhadap bukan India dengan serta merta. Selain daripada beranikah beliau menasihatkan semua kaum India dinegara ini supaya jangan hadir dan sambut ulang tahun Gereja St Anne di Bukit Mertajam, Pulau Pinang?

Untuk makluman rakan-rakan media hubungan kaum diantara penduduk sekitar Ladang Metro Kajang, Kamunting adalah begitu aman damai serta erat keadaannya. Tetapi sejak kebelakangan ini, faktor keselamatan juga menjadi tanda soal kerana beberapa ahli-ahli Persatuan Penganut mula menunjukkan belang benar mereka sehingga mencetuskan suasana yang tidak senang didalam dan dipersekitaran kuil ini. Beberapa laporan Polis telahpun dibuat namun tiada apa-apa tindakan yang diambil. Keselamatan penduduk ladang metro kajang kini dalam keadaan bahaya. Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada keadaan ini adalah, campurtangan pihak Polis secara membuta tuli. Akibatnya ia membawa padah yang cukup serius pada penduduk sekitar Kuil Dewa Sri Maha Mariamman.

Pernah pihak Polis telah mengadakan satu perjumpaan diantara kedua-dua pihak iaitu diantara Persatuan Panganut dan Jawatankuasa Pengurusan tetapi tindakan Polis adalah seolah mesyuarat itu diadakan atas desakan satu pihak sahaja. Walaubagaimanapun, kami telah hadir dan menyampaikan rasa tidak puas hati terhadap campurtangan pihak Polis dalam hal-hal rumah ibadat serta menasihatkan pihak Polis supaya menjauhkan diri daripada berbuat demikian. Selain daripada itu, kami juga telah menghantar beberapa email kepada pihak pengurusan tinggi Polis Perak untuk menyiasat campurtangan pihak Polis IPD Taiping dalam hal ini. Seperti biasa, apabila seorang rakyat Malaysia mengorak langkah untuk membuat laporan Polis terhadap pihak Polis, maka sikap balas dendam akan wujud dan ianya akan dinafikan secara habis-habisan oleh pihak Polis yang terlibat. Situasi ini sudah menjadi lazim kdp mana-mana pihak yang berbuat demikian. Baru-baru ini beberapa laporan Polis telah dibuat terhadap seorang pegawai Polis yg berpangkat DSP yg bertugas di IPD Taiping.

Oleh yang demikian, hari ini kami mengambil pendirian untuk menggesa dan menyarankan agar pihak Kerajaan dan pihak Polis supaya mengambil tindakan yang wajar dari segi undang-undang terhadap Mohan Shan yang terbukti menghina perpaduan diantara kaum serta yang boleh menggugat keamanan dikawasan Kamunting. Kami juga ingin menegaskan bahawa kami disini sebagai rakyat Malaysia akan mempertahankan persefahaman kaum lain serta tidak akan menghina atau serang mana-mana kaum lain dan tidak akan bergorak langkah untuk menyokong kenyataan perkauman Mohan Shan atas apa jua alasan sekalipun. Selain daripada itu, kami juga menyeru supaya Presiden HSM Mohan Shan meminta maaf kepada semua pihak yang menjadi mangsa kelakuan melampau dan kenyataan buruk beliau dengan serta merta.

Sekian