Saturday, September 26, 2009

Perlembagaan negeri bakal pupus jikalau DUN Perak tidak dibubarkan.

Apakah caranya untuk menyelamatkan perlembagaan negeri Perak serta cara yang paling selamat untuk menyelamatkan hak khazanah rakyat Perak? Bubarkan DUN Perak, biar rakyat yang menentukan dan kembalikan hak rakyat untuk mandat baru. Itulah laungan rakyat Perak.

Segala perjuangan dan perpaduan diantara rakyat sebelum Merdeka tidak lagi ternilai dan tidak dihargai oleh sesetengah pihak demi kepentingan politik dan kegilaan kuasa masing-masing. Keadaan dinegeri Perak sudah diiktirafkan mencapai tahap kritikal dan kemuliaan Negeri Perak akan pupus tidak lama lagi jikalau DUN Perak tidak dibubarkan.

Kesemua pihak harus berfikiran luas dan berpandangan jauh dalam menangani krisis perlembagaan Negeri Perak dan bukannya untuk mengaut publisiti politik secara komersial semata-mata. Saya amat pasti, sudah ada perkara yang lebih besar agendanya, hebat cabaranya dan buruk padahnya jika isu perlembagaan Negeri Perak tidak diberikan perhatian yang sewajar.

Jangan jadikan krisis ini sebagai satu gimik politik ataupun berniat untuk memprovokasikan keadaan tenang dinegeri Perak. Keadaan semasa ini seharusnya dilihat secara serius bukan sahaja diperingkat negeri malah oleh Kerajaan Persekutuan juga patut mencari jalan penyelesaiannya.

Sudah beberapa kali bantahan dilaungkan terhadap Kerajaan, tetapi tiada tanda-tanda reaksinya daripada Kerajaan Negeri semasa yang selalunya dicaci oleh rakyat sendiri. Jikalau BN mempunyai peranan yang lebih besar daripada PR demi kepentingan pembangunan serta kemakmuran Negeri Perak, maka peluang keemasan untuk mereka membuktikan kehebatannya adalah hanya melalui pembubaran DUN dan bukannya mewujudkan keadaan huru-hara dengan bantuan pihak Polis.

Selain daripada itu, serangan demi serangan terus dilakukan oleh kedua-dua pihak. Pelbagai tuduhan dilemparkan dan kedua-dua pihak mengambil tindakan undang-undang sehingga membawa satu suasana yang bosan kepada rakyat. Oleh kerana itu, sistem perundangan negara juga menjadi satu tanda soal dikalangan rakyat. Ini semua dilihat seperti satu wajah baru dalam arena politik semasa negeri Perak yang hanya pentingkan kuasa pentadbiran sahaja dan wadah perjuangan utama pengundi tidak dipedulikan dengan terang-terang.

Tidak cukup setakat itu, kini setiap kali wujudnya Persidangan DUN samada dipanggil oleh PR ataupun BN, ianya lebih mengembirakan pihak Polis kerana kuasa mutlak diberikan kepada mereka untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang tidak patuh pada arahan mereka. Dalam krisis ini juga, ada wujud beberapa kumpulan yang lebih berbahaya sedang cuba mengambil kesempatan untuk mencurah krisis perkauman demi kepentingan diri sendiri.

Pada pandangan saya, krisis ini juga membuka tirai untuk kewujudan beberapa parti politik baru serta wujud agenda dan tangan yang sudah mengambil kesempatan tanpa menghiraukan kepentingan Rakyat Negeri Perak.

Apakah benar Kerajaan Barisan Nasional Negeri Perak sudah berdaya maju, relevan, peka dalam isu kebajikkan rakyat dan memahami situasi semasa keadaan Negeri Perak? Biarlah fakta-fakta didalam tangan rakyat yang menentukannya.

Saya amat pasti dimana, tidak ada mana-mana pihak yang boleh membuat percubaan ataupun boleh memusnahkan kredibiliti Kerajaan jikalau mereka diterima oleh rakyat. Jika benar BN amat prihatin dan mendengar tangkisan rakyat, maka pembubaran DUN adalah satu-satunya jalan penyelesaian yang paling bagus untuk menentukan Kerajaan Pentadbiran Negeri Perak.

Beranikah Kerajaan BN membawa satu usul untuk membubarkan DUN Perak pada sidang DUN yang dijangka akan diadakan pada bulan November 09?.